Remaja bertahi lalat di atas bibir seakan model antarabangsa popular,
Cindy Crowford itu, menjadi buruan agensi-agensi model luar negara. Melihat wajahnya yang putih kemerahan, slanga Austria yang dituturkan,
malah gaya rambut warna perang muda, siapa sangka remaja berwajah kacak
bernama
Mika Aaron Jenewein itu boleh bertutur loghat
Negeri Sembilan dan sangat menggemari masakan tradisional Melayu seperti
masak lemak cili padi, char kuetiau, rendang serta lontong.
Paling lucu, apabila remaja yang senang
dipanggil Mika itu sangat menggemari kicap buatan Malaysia dan setiap
kali mengembara ke luar negara dia pasti memenuhkan bagasi dengan
botol-botol kicap.
Malah, ketika pemeriksaan beg di lapangan
terbang, Mika menjadi tumpuan pegawai pemeriksa kerana terkejut dengan
puluhan botol kicap di dalam bagasi yang disangka bahan terlarang.
Menariknya, dia mempelawa rakan-rakan model antarabangsa yang lain mencubanya.
Tidak malu, malah bangga dikenali model berdarah kacukan Melayu.
Mika menyifatkan darah Melayu yang mengalir
dalam tubuhnya adalah tuah yang membawanya mengenali budaya serta
keunikan orang Melayu khususnya negeri kelahiran ibunya.
Menurut anak bongsu pasangan Marcus
Jenewien, 50, dan Azra Abdul Rahman, 45, Malaysia seolah-olah rumah
keduanya selepas Austria memandangkan dia sekeluarga sering pulang ke
negara ini hampir setiap tahun.
Selain bertemu sanak-saudara yang berada di
Johol, Negeri Sembilan, dia juga mencari dan mendapat tawaran menjadi
model di pentas peragaan seperti di Minggu Fesyen Johor dan Minggu
Fesyen Kuala Lumpur.
Malah, Malaysia merupakan lokasi pertama
yang membawanya ke dalam bidang peragaan dan pengiklanan komersial,
apabila buat pertama kali berlakon dalam iklan Sunquick pada 2007 ketika
berusia tujuh tahun.
Baru berusia 19 tahun, namun Mika boleh
dikatakan berjaya meletakkan namanya setanding model-model popular lain
di pentas peragaan antarabangsa apabila telah diberi peluang
memperagakan pelbagai jenama gah seperti Moschino, Di Liborio, Stella
Jean dan Visvin selain pernah disunting jenama Prada, Burberry dan
Hermes.
Pun begitu, Mika bijak mengatur langkah
dengan menyertai tiga agensi terkenal iaitu IMG Models di London,
Addicted To Model (Austria) dan No Logo Men (Milan) sebagai usaha
membawa namanya ke seluruh dunia.
0 komen:
Post a Comment