08/02/2018

Sejarah Asal Usul Tarian Singa

BY Mr. Rizal IN No comments



Tarian Singa bukanlah sesuatu yang asing bagi seluruh masyarakat di dunia ini lebih-lebih lagi ianya adalah salah satu yang menjadi tarikan sewaktu perayaan Tahun Baru Cina menjelma. Tarian Singa ini menjadi satu yang wajib ada dan wajib ditonton sekiranya ia dipertontonkan di khalayak ramai. Sesuai dengan perayaan Tahun Baru Cina ini, saya akan berkongsi informasi sejarah mengenai asal usul Tarian Singa ini di dalam komuniti Cina di seluruh dunia. 

Pinyin atau wushi adalah panggilan bagi Tarian Singa di dalam bahasa Cina dan ianya adalah sebahagian daripada warisan tradisi masyarakat Cina di seluruh dunia. Di dalam seni tarian singa ini, si penari akan meniru pergerakan singa bergerak mengikut alunan gendang dan muzik masyarakat Cina. Dengan rancaknya alunan gong dan gendang berserta dengan dentuman mercun yang secara simboliknya bermaksud membawa tuah, 2 penari yang bertanggungjawab membawa bahagian kepala dan badan singa akan bergerak seiringan. 

Sebenarnya haiwan bergelar Singa merupakan satu haiwan yang menjadi simbol haiwan pelindung di dalam adat majoriti orang-orang di Asia terutamanya bagi mereka yang berketurunan Cina. Selain daripada tarian Singa yang begitu popular di negara Cina, Hong Kong dan Malaysia serta Singapura, Tarian Singa juga menjadi salah satu warisan adat bagi masyarakat yang mendiami negara Taiwan, Jepun, Korea, Thailand dan Vietnam. Di setiap negara tersebut walaupun mempunyai Tarian Singa namun begitu corak dan bentuk tarian adalah berbeza sama sekali. 

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Tarian Singa mempunyai 2 jenis tarian yang berbeza dan ianya dikatakan sudahpun wujud seribu tahun yang lalu. Dua tarian singa yang amat popular itu ialah “Tarian Singa Utara” dan “Tarian Singa Selatan”. Kedua-dua tarian singa ini membawa maksud yang berbeza dan mempunyai pantang larang dan protokolnya yang tersendiri. 

Tarian Singa Utara dikatakan berasal dari bahagian Utara Negara China dan tujuan tarian ini dipersembahkan adalah untuk hiburan di kalangan keluarga Diraja maharaja China suatu waktu dahulu. Jadi Tarian Singa Utara ini boleh dipersembahkan asalkan ianya mendapat perintah daripada keluarga diraja China suatu waktu dahulu. Kostum untuk tarian Singa Utara juga berbeza iaitu warna merah, jingga bagi singa jantan dan singa betina hijau dan kuning. Tarian Singa Utara ini lebih banyak menonjolkan ciri-ciri akrobatik yang hanya mereka yang mahir dan telah menjalani latihan yang lama mampu mempersembahkannya. 

Tarian Singa Selatan pula dikatakan berasal dari bahagian Selatan Negara China dan ianya lebih kepada perkaitannya dengan alam sekitar. Tarian Singa Utara dipersembahkan sebagai satu istiadat untuk membuang semangat jahat dan memohon meminta tuah. Tarian Singa Utara ini yang paling banyak protokolnya kerana ianya harus mengikut perintah sami yang mengetuai upacara tersebut. Kostum untuk Tarian Singa Selatan juga berlainan iaitu dengan bahagian mata singanya lebih besar daripada mata kepala singa tarian singa utara dan warna matanya adalah hitam dan putih atau merah putih.. Ia juga mempunyai cermin serta sebatang tanduk di hadapan kepalanya. 

Apabila berbicara tentang Tarian Singa maka adalah tidak lengkap jika tidak menyelitkan versi-versi legenda Tarian Singa itu sendiri yang sudah tentu ramai masyarakat Cina di seluruh dunia ini mempunyai versinya tersendiri. Untuk kesekian kalinya di ruangan ini akan diselitkan 2 versi cerita legenda Tarian Singa yang mana kedua-duanya adalah cerita legenda dari Negara Tembok Besar China itu sendiri. 

Sejarah Tarian Singa


 
Versi 1 :
Dihikayatkan sekitar tahun 960 masihi seorang pemimpin negeri Dayuezhi satu tanah jajahan empayar Tembok Besar China telah menghadiahkan seekor singa jantan yang berbulu emas kepada Maharaja Zhang dari Dinasti Song. Singa ini bukanlah seekor singa yang biasa kerana selain daripada keajaibannya yang mempunyai bulu emas, singa ini juga amat bijak untuk menari apabila mendengar pukulan gendang. Hadiah ini amatlah menggembirakan Maharaja Zhang malah baginda juga telah menyediakan seorang jurulatih yang ahli di dalam ilmu singa untuk menjaga si singa ajaib ini. 

Pada tahun berikutnya, Maharaja Zhang telah menjemput pemimpin Negeri Dayuezhi ke istana bagi menyaksikan persembahan singa ajaib itu. Semakin hampir dengan tarikh untuk mendapat persembahan, tanpa disedari jurulatih, singa tersebut telah mati mengejut. Berita kematian singa tersebut dikhabarkan kepada Maharaja Zhang dan ini amat memurkakan baginda. 

Akibat tidak mahu menjatuhkan maruah maharaja dan juga tidak mahu hubungan baik antara Negeri Dayuezhi dengan Dinasti Song maka jurulatih itu telah membuat perakuan dengan Maharaja Zhang yang beliau mampu menghidupkan singa itu semula. Maharaja Zhang akhirnya bersetuju dan cerita kematian singa tersebut tidak akan disampaikan kepada pemimpin Dayuezhi nanti. 

Apabila tiba pada hari pertunjukkan alangkah kagumnya Maharaja Zhang dan pemimpin Dayuezhi melihat singa yang berbulu emas yang kemas mempersembahkan tarian singa dengan pelbagai persembahan akrobatik dan patuh kepada arahan jurulatihnya. Atas hal ini, Maharaja Zhang dan juga Dinasti Song mendapat pujian yang pemimpin Dayuezhi kerana mampu menjadikan singa hadiah daripada mereka lebih baik daripada sebelumnya. 

Apabila pemimpin Dayuezhi sudah kembali ke negeri asalnya barulah Maharaja Zhang memanggil jurulatih singa untuk menghadapnya ke istana. Tujuan baginda adalah untuk mengetahui bagaimana jurulatih itu mampu menghidupkan kembali singa itu. Tanpa berahsia, jurulatih itu menceritakan rahsianya iaitu dia menggunakan 2 pakar akrobatik untuk menjadi singa dan menari mengikut alunan gendang. 

Maharaja Zhang amat kagum dengan jurulatih tersebut dan sejak daripada itu baginda menitahkan bahawa persembahan tarian singa akan dijadikan tarian rasmi bagi menyambut kedatangan utusan daripada pelbagai negara. Lama kelamaan budaya tarian singa ini meresapi penghidupan masyarakat Cina dan akhirnya beransur-ansur menjadi adat di kalangan masyarakat Cina. 


Versi 2:
Dihikayatkan pada zaman lampau, haiwan Singa dikatakan sering menyerang manusia di bumi ini. Setiap kali serangan daripada Singa ini sudah tentu ramai nyawa manusia yang terkorban dan tiada apa yang boleh manusia lakukan selain daripada bersembunyi dan berdoa kepada tuhan untuk meredakan serangan Singa ini. 

Doa daripada manusia ini didengar oleh Buddah Xiaomian iaitu salah satu daripada dewa yang berwajah senyum di kalangan penganut agama Buddha. Buddah Xiaomian adalah dewa yang penuh dengan kesaktian kerana dewa Buddah Xiaomian mampu menjinakkan haiwan yang ganas. 

Diceritakan pada suatu hari singa telah sekali lagi menyerang sebuah kampung di bumi dan ketika hiruk pikuk serangan tersebut Buddah Xiaomian telah turun dari dunia kayangan dan dengan kesaktiannya telah berjaya menjinakkan singa tersebut dengan menari mengikut alunan gendang yang dipalu. Sejak daripada itulah dikatakan singa tidak lagi menyerang manusia di bumi melainkan jika dia cedera atau disakiti. 

Bagi manusia di bumi pula amat kagum dengan cara Buddah Xiaomian menjinakkan Singa yang ganas itu dan manusia secara beransur-ansur telah mencipta tarian singa dengan pergerakan akrobatik serta kostum singa yang berwarna-warni bagi mengindakan persembahan. Akhirnya tarian singa meresapi budaya penghidupan masyarakat Cina di dunia dan seperti adanya sekarang.


0 komen:

Post a Comment

Kisah Lain Di Dunia Tanpa Sempadan